Tuesday 24 November 2015

MASAK TEMPE


TEKS  :  SUZILA BT SAID

FOTO :  SUZILA BT SAID

#ENTRI  : 8

Baru-baru ni balik kampung rumah mak mertua. Balik sekejap jer tak sempat makan pun. Balik rehat sekejap, kemudian balik semula ke Shah Alam.  Semua sihat walafiat. Alhamdulillah.  Nak balik ke Shah Alam tu mak mertua bagi bekal tempe yang orang kampung buat.  Memang tradisional sangat nampak.  Tempe berbalut dengan daun pisang dan surat khabar lama. 

Sampai Shah Alam lebih kurang pukul 2 pagi.  Esoknya hari bekerja. Masing-masing cepat-cepat masuk kerumah dan rehatkan diri, tidur sekejap.  Esoknya pagi-pagi lagi sibuk menuju ke tempat kerja masing-masing.  Dah petang, balik rumah baru ternampak bungkusan tempe ada dalam kereta lagi.  Tak sempat simpan pagi tadi sesampai ke rumah.  Nasib baik tempe.  Kalau ikan mahunya dah busuk seharian dalam kereta.

Ini pertama kali nak masak tempe.  Seumur hidup memang makan tempe tapi tak pernah makan yang di masak sendiri.  pertama kali buka balutan daun pisang yang membaluti tempe.  Nampak putih macam bercendawan... mula-mula rasa macam alamak tempe ni dah rosak ker.  takut rosak sbb semalaman dalam kereta.  Tapi bila tanya orang yang lebih arif dengan tempe ni.. dia kata memang bentuknya macam tu.  Lega rasa masih selamat tempe ni.

Macam mana pulak nak masak ni.  Masa ni la teringat dengan sambal tempe bagai.  Tapi tak dak resepi, tak tahu nak buat mcmana.  Akhirnya potong kecil dan goreng macam tu jer.  Teringat keropok tempe.  Haha...macam tu lah.  kan senang jer. Tapi memeng orang yang membuat tempe ni pandai agaknya.  Goreng kosong macam tu jer pun sedap.  (Haha.. ayat perasan..gitu..)
Tapi okey lah bagi org yang pertama kali masak tempe. 


                                             tempe goreng dan ikan kering tumpang sekaki.


CUTI OH CUTI (Episod 1)




TEKS  :  SUZILA BT SAID

# ENTRI  :  7

Minggu ni dah mula cuti sekolah.  Cuti akhir tahun 2015.  Bermula lah episod menjadi babysitter di rumah sendiri.  Jenuh lah jugak nak menjaga empat orang anak-anak ni.  Macam-macam ragam yang kena hadap setiap hari.

Pagi-pagi hari dah nak kena fikir untuk sarapan diaorang ni.  Macam dah kena buat menu untuk seminggu rasanya.  Buat macam asrama terus.  Menu setiap hari dah ada.  Baru senang nak bergerak.  Itu baru untuk sarapan.. belum lagi untuk makan tengahari.. petang... malam....  Pergh... penat macam ni.

 Biasa masak hanya untuk malam sahaja. Sarapan hanya sempat bancuh Tamarcocoa pagi hari tu pun dah kira ok.  Nasib baiklah ada Tamarcocoa.  Mudah lah sikit kerja.  Dapat lah meringan kan sikit kerja menyediakan sarapan pagi. Dorang pun faham dan tak banyak kerenah.  Minum Tamarcocoa dan cicah jer dengan roti.  Siap... sarapan untuk pagi sblm tunggu van ke sekolah.

Cuti-cuti ni dorang pandai la pulak demand macam-macam untuk sarapan.  Nasi lemak, nasi goreng, teh tarik sedap, lempeng.  Tapi sekali-sekala dalam cuti ni lah kita boleh masak sambil ada helper.  Sorang kupaskan bawang.  Sorang potong sayur. Sorang basuh pinggan. Sorang sediakan meja. Cepat jer semua kerja bila masing-masing rajin pulak membantu.


sarapan pagi dengan Tamarcocoa dulu


Saturday 13 June 2015

HAPPY TEACHERS DAY

Teks  :  Suzila Said
 #entri : 6

"Assalamualaikum semua..."

"Baiklah murid-murid awak semua boleh duduk dan tolong hantar buku latihan yang saya beri homework semalam..."

Wah!.. Pejam celik, pejam celik dah 13 tahun saya berada dalam profesion ini.  Profesion yang cukup mencabar hati dan perasaan.  Teringat pula masa sekolah dulu tidak pernah pun terlintas difikiran untuk menjadi cikgu.  Apatah lagi mengajar budak-budak besar di sekolah menengah. Lebih-lebih lagi sekarang ini siap mengajar di sekolah yang semuanya murid lelaki. Lagi lah kena kuat stamina, bukan setakat kuat hati dan perasaan sahaja.  Apa tidaknya masing-masing punya suara mengalahkan orang yang pakai mikrofon.  Kalau muridnya macam tu, bayangkan macamana suara cikgunya pula. Cikgunya yang dulu mula-mula masuk ke sekolah lelaki ni mempunyai suara yang lemak merdu macam suara Datuk Siti Nurhaliza dah bertukar jadi macam suara rockers Awie Wing.  Pendek kata sekarang ni kalau blackout pun cikgu tak kisah... sebab suara cikgu ni semua murid boleh dengar satu dewan.

Teringat masa dapat surat posting dulu, punyalah risau sebab dapat tahu kena lapor diri ke Sekolah Menengah Dato.  Yang terkenal kerana macam-macam cerita kenakalan murid-murid lelakinya yang "macam-macam".  Lepas seminggu.. OK.. Lepas sebulan.. OK... Lepas semester .. OK.. Lepas setahun.. OK juga. Kemudian OK jer... Kesimpulannya, kita kena hadapi dulu sesuatu perkara sebelum membuat rumusan yang "macam-macam" kerana dapat cerita yang 'macam-macam" sebelum hadapi semua itu.

Anak-anak murid zaman sekarang ni tidak sama macam zaman saya dulu-dulu.  Sekarang ni mereka banyak ilmu yang mereka dapati dari pelbagai sumber.  Kalau zaman dulu-dulu guru adalah sumber ilmu yang mana semua murid akan sentiasa menanti dengan penuh minat dan sentiasa bersedia.  Tapi zaman kini guru perlu bersedia dan kena mengikut cara gaya murid-murid sekarang. Guru kena bersedia dan perlu selangkah ke hadapan supaya mereka dapat memastikan murid berada dilaluan yang betul.

Untung juga berada di sekolah lelaki ni, sebab tiada masalah 'couple' di kalangan murid-murid.  Mereka ni cuma nakal dan suka bergurau.  Kekadang guraunya menjadi gurau kasar, kekadang gurau pahit, kekadang gurau manis. Semua ini meninggalkan kenangan manis bagi setiap murid dan guru.  Bila tiba hari guru ramai dikalangan cikgu-cikgu akan mendapat macam-macam hadiah. Tapidi sekolah lelaki ni kalau dapat hadiah pun adalah dikalangan guru-guru tingkatan satu dan dua a.k.a guru sesi petang.  Kalau guru-guru pagi dapat hadiah tu kira bertuah sangat lah dapat murid lelaki yang suka bagi hadiah lah kot.  Apapun terima kasih murid-muridku kerana sudi menjadi murid cikgu.  Cikgu sayang kamu semua. Cikgu doakan kamu menjadi anak yang soleh, baik pada kedua ibubapa dan berjaya dalam hidup.

Sunday 17 May 2015

LAMB @ MUTTON

Teks : Suzila Said

#entri : 5

LAMB atau MUTTON

Di Malaysia terdapat banyak jenis masakan berasaskan kambing. Umumnya mengetahui bahawa kambing ini terbahagi kepada beberapa jenis. Kambing kampung, kambing import, kambing kacukan, kambing biri-biri dan sebagainya.

Tetapi terdapat dua jenis kambing yang popular dan selalu digunakan iaitu LAMB dan MUTTON. Dua jenis isi kambing ini sangat berbeza dari segi rasa, tekstur dan sudah semestinya harga.

LAMB ialah daging anak kambing biri-biri yang berumur kurang dari satu tahun atau belum berumur 12 bulan. Mungkin anak kambing biri-biri yang berumur 6 bulan, 8 bulan atau 10 bulan yang telah mencapai berat dan sasaran yang dikehendaki dan ia sesuai untuk disembelih. Ia bertujuan untuk menyediakan daging bagi catering, BBQ dan sebagainya.

MUTTON pula ialah kambing biri-biri yang lebih tua. Biasanya ia berumur lebih dari satu tahun.
Perbezaan daging LAMB dan MUTTON sangat ketara. Daging LAMB lebih lembut dan 'juicy'. Ia sangat sesuai bagi tujuan menyediakan daging untuk BBQ atau kambing golek kerana rasanya sedap, lembut dan 'juicy'.

Manakala daging MUTTON pula lebih sesuai untuk masakan yang lebih heavy seperti gulai, kari, sup, stew, masak biryani,atau masakan bersama nasi arab. Ini kerana daging MUTTON lebih pejal dan keras.
Perbezaan dari segi harga juga sangat ketara. Harga daging LAMB jauh lebih mahal berbanding dengan daging MUTTON.

Apa pun berbezaan antara LAMB dan MUTTON, masing-masing mempunyai kelebihan yang tersendiri. Ia mempunyai kelebihan masing-masing berdasarkan tujuan penggunaannya. Yang penting kita pandai memilih daging LAMB atau daging MUTTON untuk tujuan yang berbeza.

Berdasarkan fakta-fakta di atas. maka kita tidak perlu pening lagi untuk memilih daging LAMB atau daging MUTTON.

Akhir sekali HAPPY COOKING.
TEPUK DADA TANYA SELERA.